Dulu RM1.50, sekarang RM1.80


Kata surat khabar, kita ini gambaran jelas erti perpaduan.
Namun surat khabar tak khabarkan perpaduan semacam apa.
Perpaduan pura-pura atau perpaduan sempurna?
Di takah perpaduan yang tiada perincian, kita senang.
Yang bercanggah, kita buat tak endah.
Yang konco, kita bikin hancor.
Perpaduan kita murah namun tak pernah kita tanya berapa mahal harga perpaduan yang sebenar.
"Jangan kan 60 tahun, 600 tahun merdeka pun belum tentu kami mengalah.
Tetap hak kami, walau basi sampai mati, ketuanan takkan lari."

Kata surat khabar lagi, kita contoh kepada yang lain atas sebab kepelbagaian yang wujud.
Kepelbagaian itu kita raikan namun tak ada kesanggupan.
Kita diberi cuti atas sambutannya namun keliru yang sebenar pengertiannya.
Kepelbagaian kita bersifat madu dan sepah.
Ada manisnya kita telan tapi sepahnya kita tak kenal.
"Sudah tiba masa Tok Batin bawa keluar puaknya ke laluan besar.
Bagi kenal beza tanah merah dengan jalan tar."

Surat khabar juga acap kali bilang supaya jangan khuatir.
Kita ini aman dan tenteram.
Kita ini kaya dengan hasil bumi yang banyak.
Kata surat khabar, kita punya orang-orang yang menjaga kita.
Namun surat khabar tak berambi yang khuatir itu mesti.
Buat yang berdiri dengan yang duduk.
Buat yang menjual dengan yang membeli.
"Saya beri jaminan kemiskinan akan diganti dengan bantuan.
Kami beri infrastuktur, kami susun sampai teratur.
Saya jaga anda, anda jaga saya."

Kita bayar wang buat beli surat khabar tapi surat khabar tipu kita setiap hari.
Prinsip surat khabar barangkali begini -
Bukanlah namanya tipu kalau yang nyata disimpan lalu yang disogok cuma keindahan.
Surat khabar menyorok aib.
Surat khabar mengajar bohong sunat.
Namun aneh, kita tetap beli surat khabar buat penyedap hati sendiri.
Sedikit sebanyak, kita mahu percaya.
Kita mahu berharap yang dicoretkan surat khabar itu kurang-kurang punya harapan.
Kita membeli harapan, bukan surat khabar.

Yang makin kaya itu surat khabar.
Yang menanggung dilema sampai jadi miskin menunggu harapan terkubur,
harapan tinggal harapan,
saban hari itu kita.


No comments: